PERBEZAAN DIANTARA SIASATAN TERHADAP KESALAHAN DAN SIASATAN TERHADAP PERTUDUHAN
1. ‘Siasatan terhadap kesalahan’ dilakukan apabila terdapat laporan atau maklumat bahawa seseorang telah melakukan sesuatu kesalahan. Ianya dilakukan samada oleh CPK atau CSJ. Tujuan sesuatu kesalahan disiasat adalah untuk menentukan samada sesuatu laporan atau maklumat berasas atau tidak dan juga untuk menentukan samada ada atau tidak bukti yang cukup untuk mempertuduhkan seseorang.
2. Jika terdapat bukti yang yang cukup bagi apa-apa kesalahan, maka orang yang disiasat atau sesiapa jua yang dikenalpasti telah melakukan apa-apa kesalahan boleh dipertuduhkan dengan(menggunakan BAT D 200). Jika siasatan tidak menzahirkan sebarang bukti bagi apa-apa kesalahan, maka tiada pertuduhan akan dibuat.
3. ‘Siasatan terhadap pertuduhan’ dilakukan setelah seseorang dipertuduhkan dengan resminya di mana BAT D 200 telahpun dibuat. Ianya dilakukan oleh samada Komander Rendah, Pegawai Memerintah atau Pihak Berkuasa Atasan Yang Berkenaan.
4. Tujuan sesuatu pertuduhan disiasat adalah untuk menentukan samada ada kes prima facie atau tidak. Jika ada kes prima facie, sidituduh akan dipanggil untuk membela diri(jika pertuduhan tersebut boleh dibicarakan terus) atau pertuduhan tersebut akan dirujukkan kepada Pegawai Memerintah(jika siasatan dilakukan oleh Komander Rendah) atau pertuduhan tersebut dirujukkan kepada Pihak Berkuasa Tinggi bagi maksud supaya kes tersebut dibicarakan oleh mahkamah tentera atau Pihak Berkuasa Atasan Yang Berkenaan(PBAYB).
5. Jika tiada kes prima facie, sidituduh akan dibebaskan dari pertuduhan tersebut dan tidak lagi boleh dipertuduhkan semula atas pertuduhan yang sama.
ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB UNTUK MENYIASAT SESUATU PERTUDUHAN
6. Seksyen 95 AAT 1972 memperuntukkan bahawa sesuatu kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang tertakluk kepada undang-undang perkhidmatan hendaklah dilaporkan kepada Pegawai Memerintahnya dalam bentuk pertuduhan, dan Pegawai Pemerintahnya hendaklah menyiasat pertuduhan itu mengikut cara yang ditetapkan.
PERWAKILAN KUASA UNTUK MENYIASAT SESUATU PERTUDUHAN
7. Sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 95 AAT 1972, kuasa untuk menyiasat sesuatu pertuduhan terletak kepada Pegawai Memerintah. Walaubagaimanapun, Peraturan 8(1) PPAT(BT) 1976 memperuntukkan bahawa Pegawai Memerintah boleh mewakilkan kuasa menyiasat sesuatu pertuduhan kepada seorang Komander Rendah di bawah pemerintahanya.
8. Definisi Komander Rendah - Pegawai Pemerintah sesuatu Skuadron, Bateri, Kompeni atau yunit kecil yang setaraf atau mana-mana pegawai yang dilantik sebagai ‘Komander Rendah’ oelh MAT atau Pemerintah yang berpangkat tidak rendah daripada Brigadier Jeneral(Peraturan 2(1) PPAT (BT) 1976)
HAD PERWAKILAN KUASA UNTUK MENYIASAT PERTUDUHAN
9. Kuasa menyiasat pertuduhan tidak boleh diwakilkan kepada pegawai-pegawai yang bukan Komander Rendah seperti Ajutan atau Pegawai Risik pasukan. Pegawai Memerintah hanya boleh mewakilkan kuasa kepada Komander Rendah untuk menyiasat kesalahan-kesalahan yang ia boleh bicarakan terus iaitu kesalahan-kesalahan yang dinyatakan dalam Peraturan 12 PPAT(BT) 1976. Jika sesuatu pertuduhan tidak boleh dibicarakanya secara terus, ia tidak boleh mewakilkan kuasa kepada Komander Rendah untuk menyiasat pertuduhan tersebut. Rujuk: kes Kapten Mustapha bin Abdullah v Brigadier Jeneral Abdul Manap bin Ibrahim(1988) 3 MLJ 157.
10. Contoh: pertuduhan dibawah Seksyen 54 AAT 1972(tinggal tugas) tidak boleh dibicarakan terus oleh Pegawai Memerintah. Oleh itu, ia tidak boleh mewakilkan kuasa kepada Komander Rendah untuk menyiasat pertuduhan tersebut. Ia mestilah menyiasat sendiri pertuduhan tersebut.
KESAN SIASATAN YANG TIDAK SAH
11. Dalam kes Kapten Mustapha bin Abdullah v Brigadier Jeneral Abdul Manap bin Ibrahim(1988) 3 MLJ 157, Mahkamah Tinggi Sibu telah memutuskan bahawa sekiranya Pegawai Memerintah tidak menjalankan penyiasatan terhadap sesuatu pertuduhan, atau sesuatu siasatan tidak sah kerana siasatan itu bukan dilakukan oleh Pegawai Memerintah atau bukan dilakukan oleh pegawai yang diwakilkan kuasa untuk menyiasat olehnya, maka mahkamah tentera tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan pertuduhan tersebut.
KAEDAH-KAEDAH MELAKUKAN SIASATAN
12. Kaedah 33(1)(a) KKAAT(MT) 1976 - Mendengar keterangan lisan saksi-saksi mengikut Kaedah 34 KKAAT(MT) 1976.
13. Kaedah 33(1)(b) KKAAT(MT) 1976 - Mengambil keterangan bertulis saksi-saksi iaitu keterangan bertulis dalam bentuk berikut:
– Mengambil Ringkasan Keterangan mengikut Kaedah 35 KKAAT(MT) 1976, atau;
– Mengambil Cabutan Keterangan mengikut Kaedah 36 KKAAT(MT) 1976.
14. Komander Rendah tidak boleh menyiasat sesuatu pertuduhan dengan cara mengambil Ringkasan Keterangan dan Cabutan Keterangan.
15. Ia hanya boleh menyiasat sesuatu pertuduhan dengan mendengar keterangan lisan saksi-saksi. Ini adalah kerana seseorang Pegawai Memerintah tidak boleh mewakilkan kuasa kepada Komander Rendah untuk memerintahkan supaya ringkasan keterangan atau cabutan keterangan diambil(Peraturan 8(1) PPAT(BT) 1976).
16. Sesuatu pertuduhan hendaklah(wajib) disiasat dengan cara mengambil keterangan bertulis saksi-saksi dalam keadaan-keadaan berikut:
(1) Jika pertuduhan tersebut adalah pertuduhan-pertuduhan yang tidak boleh dibicarakan terus oleh Pegawai Memerintah, iaitu pertuduhan-pertuduhan selain daripada yang dinyatakan dalam Peraturan 12 PPAT(BT) 1976. Ini adalah kerana pertuduhan tersebut hendaklah dirujukkan kepada Pihak Berkuasa Tinggi(PBT) dan Kaedah 38(1)(c) KKAAT(MT) 1976 memperuntukkan bahawa apabila Pegawai Memerintah merujukkan sesuatu pertuduhan kepada PBT, ia hendaklah memajukan ringkasan keterangan atau cabutan keterangan kepada PBT tersebut.
17. Sesuatu pertuduhan hendaklah(wajib) disiasat dengan cara mengambil keterangan bertulis saksi-saksi dalam keadaan-keadaan berikut:
(2) Apabila sidituduh adalah seorang pegawai bertauliah, Pegawai Waran(tidak termasuk Pangkuan Waran) dan orang awam(iaitu orang awam yang tertakluk kepada undang-undang tentera semasa berkhidmat dengan pasukan tentera dalam perkhidmatan giat). Ini adalah kerana pertuduhan tersebut hendaklah dirujukkan kepada Pihak Berkuasa Tinggi(PBT) dan Kaedah 38(1)(c) KKAAT(MT) 1976 memperuntukkan bahawa apabila Pegawai Memerintah merujukkan sesuatu pertuduhan kepada PBT, ia hendaklah memajukan ringkasan keterangan atau cabutan keterangan kepada PBT tersebut.
18. Keterangan bertulis saksi-saksi hendaklah(wajib) dibuat dalam bentuk ‘Ringkasan Keterangan’ dalam keadaan-keadaan berikut:
• Hukuman maksima bagi kesalahan yang dipertuduhkan adalah ‘mati’(Kaedah 33(2)(a) KKAAT(MT) 1976).
• Sidituduh, pada bila-bila masa sebelum pertuduhan terhadapnya dirujukkan kepada PBT, menghendaki supaya ‘Ringkasan Keterangan’ diambil(Kaedah 33(2)(b) KKAAT(MT) 1976).
• Pegawai Memerintah berpendapat bahawa kepentingan keadilan memerlukan suatu ‘Ringkasan Keterangan’ diambil ( Kaedah 33(2)(c) KKAAT(MT) 1976).
PINDAAN/TAMBAHAN KEPADA PERTUDUHAN ASAL
19. Kaedah 33(3) KKAAT(MT) 1976 memperuntukkan bahawa jika siasatan menzahirkan suatu kesalahan lain daripada kesalahan yang disiasat, suatu pertuduhan baru boleh dibuat terhadap sidituduh sebagai ganti atau sebagai tambahan kepada pertuduhan asal.
20. Contoh: Pertuduhan mencuri di bawah Seksyen 61(a) AAT 1972 yang disiasat boleh digantikan dengan pertuduhan cuba mencuri di bawah Seksyen 81 AAT 1972 jika siasatan menunjukkan bahawa tiada kes prima facie kesalahan mencuri, tetapi ada kes prima facie bagi kesalahan cuba mencuri.
21. Contoh: Pertuduhan di bawah Seksyen 63(a) AAT 1972(merosakkan harta awam) boleh dibuat sebagai tambahan kepada pertuduhan di bawah Seksyen 61(a) AAT 1972(mencuri) jika siasatan menzahirkan bukti bahawa di samping mencuri, sidituduh juga telah memecahkan mangga stor dan memotong pagar komplek stor kuartermaster.
